119 penduduk hilang tempat tinggal, rumah panjang didiami ranap terbakar

MIRI: 119 penduduk dari 22 keluarga di Rumah Ningkan di Lembong Suai hilang tempat berteduh setelah rumah panjang yang mereka diami sejak tahun 1992 musnah dalam kebakaran yang berlaku petang semalam.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran pada jam 1.14 petang.

Adalah difahamkan bahawa rumah panjang terbabit terletak pada jarak 50 kilometer dari BBP Batu Niah.

"Sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati api sudah memusnahkan hampir keseluruhan bangunan rumah panjang jenis struktur tidak kekal itu," ujarnya.

Pasukan bomba kemudiannya memulakan kerja-kerja memadam kebakaran dengan menggunakan satu aliran, nozel pertama 800 kaki dan nozel kedua 300 kaki yang sumber air diperolehi daripada air terbuka berdekatan.
Setelah hampir satu jam memadam kebakaran, api akhirnya berjaya dikawal pada jam 2.30 petang.

Mujurlah katanya kebakaran yang berlaku tidak mendatangkan kecederaan atau kemalangan jiwa kerana semua penghuninya berjaya lari keluar menyelamatkan diri.

Setelah keadaan didapati benar-benar selamat dan tiada berlakunya kebakaran berulang, maka pasukan bomba bertolak semula balik ke balai.

Gambar PGO Sarawak
Next Post Previous Post