Pemandu lebihi had laju berisiko disaman tembak laju

KUCHING-- Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak menjalankan operasi saman tembak laju atau saman ekor disebabkan kesalahan memandu melebihi had laju adalah punca utama kemalangan jalan raya di Sarawak.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, ia juga merupakan penyumbang kepada peningkatan kes kemalangan di negeri ini.

"Oleh yang demikian Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan kepada semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang undang dan peraturan lalu lintas yang berkuatkuasa. 

"Pihak PDRM Sarawak tidak akan berkompromi dengan mereka yang gagal mematuhi undang undang jalanraya bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya yang lain," tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Azman berkata, operasi saman tembak laju itu telah bermula 21 Ogos lalu bagi mengesan pengguna jalan raya yang memandu kenderaan melebihi had laju yang telah ditetapkan. 

Tambahnya, operasi yang dijalankan adalah bagi memberi peringatan kepada semua pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan di dalam negara serta bagi mengurangkan kes-kes kemalangan jalan raya.

"Operasi tersebut menggunakan kamera tembak laju (Tru Cam) bagi merakam mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar had laju yang ditetapkan di bawah Seksyen 79 (2) APJ 1987. 

"Notis pemberitahuan saman PDRM(K) 170A bagi kesalahan memandu melebihi had laju akan disampaikan kepada pemilik kenderaan mengikut alamat lesen memandu secara pos surat berdaftar," jelasnya.

Menurutnya lagi, semua kesalahan memandu melebihi had laju boleh dikompaun dan boleh dijelaskan di mana-mana Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) di seluruh Sarawak.
Next Post Previous Post