Anjing liar masuk klinik swasta di Stutong dan gigit jururawat kini diburu

 
KUCHING-- Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) kini memburu anjing liar yang terlibat dalam kes seorang jururawat yang cedera akibat digigit anjing di sebuah klinik swasta di Stutong pada Isnin lalu.

Datuk Bandar MBKS Dato Wee Hong Seng berkata, mangsa digigit pada kaki kiri dan tangan kanan yang berlaku sekitar jam 12 tengah hari apabila anjing terbabit dikatakan memasuki klinik berkenaan ketika pintu masuk utama klinik tidak ditutup sepenuhnya kerana menghampiri waktu rehat tengah hari.

"Selepas digigit, mangsa kemudiannya terus dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak untuk mendapat rawatan dan akan menerima rawatan susulan pada 24 Ogos ini.

"Susulan kejadian ini, operasi mengesan dan menangkap haiwan berkenaan dilancarkan pada Isnin sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu," katanya pada sidang media semalam.

Dalam pada itu, Wee berkata, insiden itu juga dimaklumkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) selain operasi mengesan dan menangkap anjing berkenaan giat dilakukan oleh MBKS.

Dalam operasi itu, katanya, pihak MBKS telah menangkap seekor anjing liar di kawasan berkenaan.

"Ada seekor lagi anjing liar terlepas setelah lari ke dalam hutan berhampiran.

"Kita mengesyaki anjing-anjing ini yang telah menggigit mangsa dan usaha mengesan anjing-anjing liar di situ akan diteruskan dan ini adalah rutin harian petugas khas MBKS," tegasnya.

tamat
Next Post Previous Post