Lelaki tempatan maut dibunuh, ada 8 kesan tembakan di badan

SIBU—Seorang lelaki tempatan dijumpai mati disyaki dibunuh dengan terdapat lapan kesan tembakan di badan di sebuah kawasan rumah kebun di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, mangsa berusia 46 tahun disahkan maut di tempat kejadian dengan terdapat lapan kesan tembakan di bahagian badan.

Manakala katanya dua rakan mangsa yang berusia 46 dan 36 tahun yang cedera dalam insiden itu didapati selamat.

Jelasnya lagi, polis menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar jam 1.23 pagi dan mengerahkan pasukan ke lokasi untuk menjalankan siasatan.

"Kita (polis) mengesahkan seorang mangsa telah meninggal dunia dengan kesan tembakan manakala dua rakan mangsa kini menerima rawatan di Hospital Sibu," katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu di sini hari ini.

Mengulas lanjut kes itu, kata Zulkipli, dua rakan mangsa dikatakan datang ke rumah kebun mangsa untuk makan malam pada jam 9.30 malam tadi.

Dedah beliau, sekitar jam 11.30 malam, ketiga-tiga mereka beredar dari tempat kejadian di mana mereka telah diserang oleh suspek dari arah bertentangan yang melepaskan tembakan semasa salah seorang rakan mangsa mengunci pintu pagar.

"Dua rakan mangsa telah melarikan diri ke dalam kawasan belukar berhampiran untuk menyelamatkan diri.

"Lebih kurang setengah jam kemudian, dua rakan mangsa telah keluar dari kawasan belukar dan mendapati mangsa telah rebah," katanya.

Tambahnya, hasil siasatan awal mendapati lapan kesan tembakan pada badan mangsa.

Selain itu, beliau memberitahu polis menjumpai kelongsong peluru di tempat kejadian.

Tegasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya lagi, motif kejadian masih dalam siasatan dan untuk itu polis menasihati masyarakat awam tidak menyebarkan sebarang spekulasi berhubung kes tersebut bagi memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan.
Next Post Previous Post