Bakar rumah dan simbah cat, ‘ah long’ Samarahan dipenjara

KOTA SAMARAHAN — Lima lelaki yang menjadi ejen Ah Long dikenakan hukuman penjara antara satu hingga 12 tahun oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah membakar kediaman dan simbah cat di premis milik mangsa di daerah Kota Samarahan.

Media melaporkan, bagi tuduhan khianat membakar kediaman, Hakim Iris Awen Jon memutuskan hukuman penjara 12 tahun ke atas tiga tertuduh iaitu Alexander Kimpin, Nelson Ajau dan Then Shaw Nam.

Mereka didakwa melakukan khianat menggunakan api dengan maksud hendak menyebabkan kebinasaan terhadap sebuah rumah di Taman Hill View di sini, pada 7 Julai 2023, sekitar jam 2.05 pagi dan didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan. 

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berkuatkuasa 31 Julai.

Selain itu, Then bersama dua lagi tertuduh iaitu Jee Eo Liang dan Lai Shin Yung dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah ketika kejadian. Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama.

Hakim Iris turut menjatuhkan hukuman penjara satu tahun sepuluh 10 ke atas Jee Eo Liang selepas mengaku bersalah di bawah 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat merosakkan harta benda.

Sementara itu Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Dato Mancha Ata berkata, pada 29 Julai seramai lima tangkapan yang melibatkan kes khianat dengan api dan simbah cat dirumah kediaman dan kedai perabot milik mangsa di Daerah Kota Samarahan telah dituduh di Mahkamah Seksyen Kota Samarahan semalam.

“Seramai tiga orang tangkapan telah dituduh dibawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang membawa hukuman 12 tahun penjara atas kesalahan membakar rumah mangsa yang dikatakan terlibat dengan pinjaman wang tanpa lesen atau Ah Long dalam talian.

“Bagi kes kedua, seramai tiga orang tangkapan telah dituduh dibawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dengan hukuman tiga tahun penjara dan hukuman tersebut dijalankan secara berasingan dengan kesalahan kes pertama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujarnya, manaka kes ketiga, satu orang tangkapan telah dituduh dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara 1 tahun sepuluh bulan.

“Masyarakat adalah dinasihatkan untuk tidak terpedaya dengan mana-mana tawaran pinjaman wang dari mana-mana media sosial ataupun iklan daripada pemberi pinjaman wang tanpa lesen dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja yang
boleh membawa kepada kesalahan jenayah,” katanya.
Next Post Previous Post