Layan dadah di pub, 18 ditahan termasuk 7 wanita

KUCHING-- Seramai 18 individu temasuk tujuh wanita ditahan dalam satu serbuan ke atas sebuah pusat hiburan di Jalan Canna di sini malam Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, serbuan itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching pada jam 11.15 malam.

"Dalam serbuan ini seramai 21 orang telah diperiksa. 

"Hasil saringan awal ujian air kencing mendapati 11 lelaki dan tujuh wanita warga tempatan berusia 21 hingga 31 tahun, terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. 

"Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih daripada RM5,000 atau hukum penjara tidak lebih daripada 2 tahun," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan maklumat orang awam berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah. 
Next Post Previous Post