Dua ditahan,dadah bernilai RM12,840 dirampas


LIMBANG--Dua individu termasuk seorang wanita diberkas polis dan berjaya merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM12,840 di bandar ini semalam.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot berkata operasi dijalankan oleh pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menahan seorang lelaki jam 7.40 petang di tempat letak motorsikal, aras bawah bangunan Limbang Plaza.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut ke atas beg tangan milik suspek lelaki, pihaknya menjumpai satu paket plastik bewarna putih berisi serbuk MDMA anggaran berat 37 gram, enam biji pil ecstasy seberat 3.4 gram dan lima peket plastik lutsinar berisi hablur disyaki dadah jenis ketamin seberat 5.2 gram.

“Dengan dipandu suspek lelaki ke sebuah rumah di Jalan Kubong, kita turut menahan seorang perempuan di bilik tidur aras atas rumah itu.

“ Hasil pemeriksaan lanjut dalam bilik tersebut kita merampas 130 biji pil ecstasy anggaran berat 60 gram, 15 peket plastik lutsinar berisi dadah jenis ketamin seberat 16 gram dan sembilan papan kerajang timah berwarna merah/perak disyaki dadah jenis pil erimin 5 seberat 25 gram,”katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau menjelaskan kedua-dua suspek berumur 25 dan 27 tahun merupakan penganggur dan mendapati masing-masing mempunyai satu rekod lampau melibatkan kes pengedaran dadah.

“Hasil siasatan awal kedua-dua suspek tersebut dipercayai terlibat secara langsung dengan aktiviti pengedaran dadah di sekitar Limbang dan ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah.
“Hasil siasatan awal juga mendapati bekalan dadah tersebut dibawa masuk ke daerah Limbang untuk pasaran tempatan, nilai keseluruhan rampasan bernilai RM12,840 dan boleh digunakan seramai 392 orang pengguna,”katanya lagi.

Jelasnya kedua-dua suspek direman dibawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari dan kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tegas Parum polis tetap mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terbabit dengan sebarang kes jenayah terutama membabitkan dadah .

“ Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi IPD Limbang di talian 085-211466 atau hotline Polis Sarawak di talian 08-2245 522 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,”katanya lagi.
Next Post Previous Post