Kaki hancur dilanggar lori, Mohd Sabrie tidak putus asa teruskan hidup

KUCHING-- "Semasa hendak ambil tayar ganti dalam bonet kereta saya telah dilanggar sebuah lori 3 tan mengakibatkan kaki kiri hancur sepenuhnya dan dipotong," kongsi Mohd Sabrie Mohd Brahi, 29, yang kini bergelar usahawan OKU di Insyirah Family.

Dia yang kini menetap di Miri memberitahu, kisah hitam hidupnya itu berlaku pada 27 Februari 2015 ketika dia dalam perjalanan untuk pulang ke rumah.

"Pada pukul 8 malam selepas hantar pekerja, semasa dalam perjalanan ada sorang pak cik minta tolong tukar tayar kereta kerana bocor, jadi saya dengan niat nak tolong dia.

"Saya bagi tayar gantian kereta saya untuk dia, lagipun masa tu saya nak balik cepat sebab nak kena bawa anak ke klinik, dia meragam dan demam panas.

"Masa saya nak ambil tayar gantian kereta di bonet kereta saya, masa inilah tanpa saya sedar saya dilanggar sebuah lori 3 tan," ceritanya.

Akibat kejadian malang itu, Mohd Sabrie hilang kaki kiri.

"Kaki kiri hancur, kereta pun hancur. Bermula detik itulah segala yang dibina 'hilang'... Allah uji kami... Kita hanya dapat merancang tapi segalanya dalam ketentuan Allah," katanya.

Tambahnya, kesan kena langgar itu dia masih mengalami amnesia.

"Isteri dan anak sulung Nur Imanie Insyirah (umur 9 bulan ketika itu) saya boleh tak ingat....bahagian kepala saya kena langgar dengan kuat hingga cermin lori itu pecah kena kepala saya," katanya.

Tambahnya, hampir dua tahun isterinya terpaksa menolaknya menggunakan kerusi roda untuk berulang-alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan.

"Masa itulah umpama 'hari hujan dan gelap', kami kena gagahkan juga semata-mata nak tengok anak membesar dengan baik

"Terdetik isteri nak buat rempeyek dan di situlah permulaan jualan kami buat untuk penuhi keperluan anak," katanya.

Tanpa mengenal erti mengalah, Mohd Sabrie berkata, dia dan isteri kini menjalankan usaha menjual terubok masin selain barangan makanan kerin seperti popia serunding udang, popia nestum, peria crispy dan Cornflakes Kacang Bersira Spicy.

Justeru, dia berharap masyarakat dapat memberi sokongan kepadanya dalam meneruskan pejuangan hidupnya.

"Orang ramai yang berminat untuk memberi jualan kami boleh Whatsapp ke http://www.wasap.my/60128087457.

"Mereka yang ingin membuat sumbangan juga boleh disalurkan ke INSYIRAHFAMILY (Maybank) 561181109829.

"Terima kasih atas sokongan anda semua. Kami doakan semoga Allah beri kesihatan yang baik, rezeki yang berkat," ujarnya.
Next Post Previous Post