Jusoh gesa Ahmad Zahid letak jawatan, pikul kekalahan teruk BN

KUALA LUMPUR-- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu berundur dan meletak jawatan berikutan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri semalam.

Gesaan itu disuarakan bekas Ahli Parlimen Besut Tan Sri Idris Jusoh menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Tegasnya, Ahmad Zahid selaku Pengerusi BN dan Presiden UMNO harus bertanggungjawab atas prestasi yang kurang baik itu.

"UMNO kalah teruk di PRN semalam. UMNO kalah 100% di Terengganu. 
(Ahmad) Zahid Hamidi perlu letak jawatan," katanya.



Pada PRN di enam negeri semalam menyaksikan BN mencatat kekalahan terburuk dalam sejarah parti itu yang hanya memenangi 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 108 kerusi ditandingi di Selangor, Terengganu, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Malah, di Terengganu BN kalah semua kerusi DUN termasuk 10 kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu iaitu Hulu Besut, Jertih, Kuala Besut, Permaisuri, Langkap, Batu Rakit, Seberang Takir, Telemong, Bukit Besi dan Kijal.

Selain itu, beberapa "abam besar" BN termasuk dua bekas Menteri Besar Terengganu iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Said dan Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abdul Rahman turut kecundang di kerusi tradisi BN.

Semalam, Perikatan Nasional (PN) menyapu bersih kesemua 32 kerusi DUN dan Parlimen Kuala Terengganu, dengan dua bekas Menteri Besar Terengganu dari UMNO kecundang.

Datuk Seri Ahmad Said gagal mempertahankan kerusi DUN Kijal yang disandangnya selama sembilan penggal, pada PRNkali ini.

Beliau yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu tewas kepada Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris yang menang bergaya dengan majoriti undi 3,758 undi dalam pertembungan satu lawan satu.
Next Post Previous Post