Video tular Sibu: Sistem audio kereta terlalu bising punca warga emas, anak mengamuk

SIBU-- Bunyi bising dari sistem audio kereta yang diuji di sebuah kedai aksesori audio yang terletak berhampiran rumahnya punca pertengkaran seorang bapa bersama anaknya dengan beberapa individu di tempat parkir kenderaan di Jalan Bukit Assek, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, bapa dan anak berusia 69 dan 33 tahun ditahan pada jam 4 petang semalam susulan laporan polis yang dibuat pengadu sekitar jam 2.07 petang hari yang sama.

"Turut dirampas senjata yang digunakan untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum itu, Zulkipli berkata, tular satu video melibatkan seorang lelaki yang mengamuk sambil memegang sebilah pisau pemotong daging yang berdurasi 1 minit 46 saat di laman Facebook.

"Kejadian berlaku pada jam 11.30 pagi semalam di hadapan bangunan lot kedai, iaitu tempat parkir kenderaan di Jalan Bukit Assek.

"Punca kejadian kerana suspek berang dan tidak berpuas hati dengan bunyi bising sistem audio kereta yang diuji di sebuah kedai aksesori audio yang terletak berhampiran rumahnya (jarak lebih kurang 10 meter). 

"Berlaku pertengkaran mulut antara suspek bersama anak lelakinya yang tiba kemudian dengan beberapa lelaki pelanggan kedai aksesori audio tersebut," jelasnya.

Tambahnya, suspek bertindak mengugut dan menghayunkan senjata.

Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang kecederaan dialami oleh mana-mana pihak.

Berikutan kejadian itu, beliau memberitahu, bapa dan anak terbabit telah ditahan di rumah mereka. 

Tegasnya kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, beliau menasihatikan supaya orang ramai tidak menimbulkan sebarang spekulasi berkenaan kejadian ini.

"Polis menjalankan siasatan secara profesional berkenaan kejadian dilaporkan ini," ujarnya lagi.
Next Post Previous Post