Judi online keresahan masyarakat, perlu dibendung- Lo Khere Chiang

KUCHING-- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang meminta pemimpin masyarakat dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk memainkan peranan bersama pihak berkuasa dalam menangani sebarang masalah sosial dalam kampung masing-masing.

Beliau menegaskan kerjasama semua pihak amat penting dalam usaha untuk mencegah dan memerangi sebarang aktiviti jenayah di peringkat akar umbi dapat di capai dengan berkesan.

"Sebentar tadi tuan-tuan dan puan-puan sekalian telah mendengar ceramah berkenaan Pencegahan Jenayah dari Superinteden Lim Nee Kon. Oleh yang demikian saya berharap JKKK dapat memainkan peranan dalam menjaga keharmonian dan kesejahteraan kampung masing-masing," katanya ketika berucap pada Program Kepolisan Komuniti PDRM di Kampung Semeba di sini hari ini.

Jelas Lo, antara masalah sosial yang menjadi kerisauan kepada masyarakat sekarang adalah judi online. 

Tegasnya, judi online inilah akan menjadi punca kepada berlakunya jenayah seperti kecurian, rompak, ugut, pergaduhan dan lain-lain lagi.

"Saya juga turut menyeru pemimpin masyarakat setempat dan JKKK untuk memainkan peranan bersama pihak berkuasa dalam kita menangani sebarang masalah sosial dalam kampung masing-masing sekaligus membanteras dan mencegah daripada sebarang aktiviti jenayah berlaku di Kawasan kita," ujarnya.

Justeru, beliau berharap JKKK di Kawasan DUN Batu Kitang dapat bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam usaha pencegahan jenayah ke arah mencapai matlamat NKRA (National Key Result Areas) dalam aspek pengurangan jenayah. 
Next Post Previous Post