Dua cedera parah, kereta terlibat kemalangan dan terbakar

KUCHING-- Dua lelaki cedera parah dalam kemalangan ngeri di Batu 21 Jalan Kuching-Serian dekat Beratok malam tadi.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, dalam kemalangan sekitar jam 10.45 malam tadi melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu seorang lelaki, 29, bersama penumpang lelaki, 36, kedua-dua berasal dari Kampung Tong Nibong.

"Pemandu yang hanya mempunyai lesen B2 yang telah tamat tempoh mengalami patah tulang kaki kanan manakala penumpang patah tulang paha kiri, melecur 5 peratus pada lengan kanan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Abang Zainal berkata hasil siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu mangsa bergerak lurus di lorong kanan dari arah Serian menghala ke arah Siburan. 

Apabila sampai di jambatan Sungai Embang, Batu 21 Jalan Kuching Serian, jelasnya kereta terbabit tiba-tiba hilang kawalan lalu melanggar penghadang tembok simen jambatan di pembahagi tengah jalan kemudian berpusing terbabas di bahu kiri jalan jambatan. 

"Akibat daripada kemalangan tersebut pemandu dan penumpang cedera parah di tempat kejadian dan telah dibawa ke Hospital Serian oleh Ambulan Bomba.

"Kemalangan tersebut juga menyebabkan kereta terlibat mengalami kebakaran 100 peratus keseluruhan badan kenderaan serta kerosakan remuk di bahagian hadapan," ujarnya.

Tegasnya kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Next Post Previous Post