Hubungi MERS 999 jika berlaku kecemasan - Dr Ngian

KUCHING— Orang awam dinasihatkan menghubungi Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia atau MERS 999 jika berlaku kecemasan atau kejadian yang memerlukan tindakan segera. 

Pengarah Hospital Umum Sarawak (HUS) Dr Ngian Hie Ung berkata, ia bagi mengelak kelewatan tindak balas kecemasan berikutan masalah komunikasi. 

Beliau memberikan nasihat itu sebagai maklum balas kejadian penemuan seorang bayi perempuan yang dibuang di tepi tong sampah berhampiran pasar raya di Moyan Square, Batu Kawa awal pagi tadi. 

Penduduk tempatan yang berada di lokasi kejadian meluahkan kekecewaan kepada pihak hospital kerana tidak menghantar bantuan sewajarnya termasuk ambulans untuk menyelamatkan bayi malang tersebut. 

“Pihak hospital akan menyiasat dakwaan orang awam yang menyatakan tiada maklum balas. Kami mahu tahu pukul berapa panggilan dibuat dan tidak pasti nombor yang dihubungi. 

“Kami dapat menyemak panggilan tersebut sekiranya dibuat ke 999. Cara yang terbaik ialah menghubungi 999,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dr Ngian menambah, berdasarkan rekod pihaknya tiada menerima laporan mengenai penemuan bayi perempuan tersebut. 

Beliau berharap orang awam turut mengambil iktibar daripada kejadian ini dan menyebarkan maklumat ini kepada masyarakat pentingnya MERS 999. 

Pagi tadi penduduk gempar dengan penemuan seorang bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan ditemukan dalam keadaan masih bertali pusat dalam kotak di tepi tong sampah di Moyan Square.

Menurut penduduk, bayi berkenaan dijumpai oleh pekerja ketika sedang melakukan kerja pembersihan di kawasan itu pada jam 7 pagi. 


Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan, DSP Lim Jaw Shyong yang mengesahkan kes itu berkata, bayi malang tersebut telah dihantar ke Kinik Kesihatan Batu Kawa untuk rawatan dan pemeriksaan.

“Pihak polis masih dalam penyiasatan mengenai kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Next Post Previous Post