E-mail saman trafik taktik baharu scammer

KUCHING-- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dan menjadi mangsa dengan taktik baharu penipuan menerusi e-mail saman trafik.

Jelas PDRM, scammer sudah mula taktik baharu untuk mencari mangsa dengan menghantar saman trafik melalui e-mel.

"Modus operandi mangsa akan menerima e-mel memaklumkan tentang kesalahan trafik yang dilakukan. 

"Terdapat butang atau pautan untuk membayar saman tersebut.

"Mangsa yang menekan butang atau pautan tersebut akan dibawa ke laman web kononnya untuk menyemak saman melalui nombor pendaftaran kenderaan," katanya menerusi akaun Facebook Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police.



Selepas mangsa menekan butang pautan itu, katanya mangsa akan dibawa ke laman web yang memaklumkan tentang kesalahan trafik yang dilakukan serta amaun saman dikenakan.

Tambahnya, mangsa yang menekan untuk membayar saman akan dibawa ke laman web perbankan palsu (phishing).

Justeru, PDRM menasihat orang ramai untuk menyemak alamat e-mel yang diterima sebelum meneruskan sebarang urusan.

"Gunakan platform yang telah disahkan betul seperti [PDRM] aplikasi MyBayar PDRM (https://mybayar.rmp.gov.my), [JPJ] aplikasi MyJPJ / MySikap (https://public.jpj.gov.my).

"Semak alamat perbankan internet sebelum meneruskan transaksi. 

"Pastikan frasa atau gambar keselamatan perbankan adalah betul sebelum memasukkan kata laluan," tegasnya.
Next Post Previous Post