Bandar Sibu akan dibangunkan semula, libat kos berbilion ringgit

SIBU—Kerajaan Sarawak akan membangunkan semula bandar Sibu menjadi bandar moden walaupun ia melibatkan kos berbilion ringgit.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dana projek melibatkan seluruh bandar Sibu itu akan ditanggung oleh kerajaan, sektor awam dan sektor swasta.

"Dananya adalah di antara kerajaan, sektor awam dan sektor swasta untuk membangunkan seluruh bandar Sibu.

"Jangan alang-alang, kalau (kos) berbilion, kita akan usahakan. Ini yang akan saya lakukan kepada Sibu.

"Pelaksanaan pembangunan ini akan dilakukan hingga 2035. Sibu akan kita bangunkan menjadi bandar termoden dan bermakna pelbagai aktiviti akan berlaku di Sibu ini," ujarnya dilapor Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Beliau berkata demikian semasa Majlis Makan Malam Pemimpin Bersama Komuniti Bahagian Sibu di sini pada Ahad.

Abang Johari berkata, pembangunan semula Sibu ini akan menggunakan pengalaman dan kepakaran daripada negara lain.

“Kita cari kepakaran dan ambil pandangan dari negara lain yang telah mewujudkan bandar seperti Belanda, Belgium, Singapura.

"Ini kerana kita tidak boleh hanya menggunakan kepakaran yang kita ada semata-mata. Pandangan dari negara lain yang mempunyai ciri-ciri sama diperlukan," tambahnya.

Premier optimis pembangunan Bandar Sibu turut memberi kesan positif hingga ke Kapit dan juga Sarikei.

"Apa yang berlaku di Sibu, Kapit akan menyokong Sibu, Sibu juga akan menyokong Kapit dan Sarikei," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya Datuk Anuar menjelaskan pembangunan Bandar Sibu dapat dilaksanakan menerusi impak positif daripada projek Lebuh Raya Pan Borneo, pembangunan semula Bukit Assek selain pembangunan semula Kampung Dato dan Kampung Hilir.

"Faktor-faktor ini akan mengubah landskap pembangunan Sibu yang akan menjadikan Sibu sebagai bandar termoden di bahagian tengah.

"Harapan masyarakat di Sibu amat tinggi dan adalah perlu untuk masyarakat Sibu sendiri bersama-sama kerajaan memastikan pembangunan ini dapat diteruskan dengan lebih cepat dan lancar," ujarnya.

Pada majlis yang sama, Premier turut menyampaikan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 kepada 10 penerima.

Gambar ihsan UKAS
Next Post Previous Post