Akauntan belasah bekas suami tuntut hutang RM87,000

AMPANG JAYA— Polis menahan seorang wanita kerana membelasah bekas suaminya ketika mahu menuntut hutang RM87,000 dalam kejadian di sebuah rumah sewa di Bukit Indah, Ampang semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian 6.55 petang itu, lelaki berusia 28 tahun itu mengemas rumah sewanya di Bukit Indah, Ampang sebelum didatangi bekas isterinya berusia 38 tahun memarahinya berkaitan hutang yang belum dibayar.

“Suspek kemudian menumbuk bibir mangsa dan mengetuk kepalanya dengan hulu pengikis simen serta menendangnya di bahagian perut,” katanya dalam kenyataan dipetik Astro Awani.

Sehubungan itu, polis pada jam 9.45 malam menahan suspek yang bekerja sebagai akauntan di Ampang.

Kes disiasat dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan/ Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga.

Katanya, suspek dan mangsa baru bercerai pada 11 Julai lalu dan mempunyai seorang anak perempuan berusia setahun tujuh bulan.
Next Post Previous Post