125 peserta berjaya tamatkan Santubong Hiking Challenge 2023

KUCHING-- Seramai 125 individu terdiri daripada rakyat Malaysia dan luar negara menyertai Santubong Hiking Challenge 2023 di Taman Negara Santubong di sini hari ini.

Menurut kenyataan Sarawak Forestry Corporation (SFC), peserta cabaran itu merangkumi 116 rakyat Malaysia dan sembilan peserta antarabangsa yang berasal dari negara seperti Perancis, Ireland, Singapura, Vietnam, Britain, Nigeria, Filipina dan Indonesia. 

"Peserta terdiri daripada 50 wanita dan 75 lelaki. Majlis perasmian telah disempurnakan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

"Peserta yang datang dari seluruh pelusok amat bersemangat untuk menyertai cabaran ini bagi menerokai laluan yang ada di Gunung Santubong ini.

"Keazaman para peserta amat dikagumi meskipun mempunyai pelbagai tahap kemahiran melepasi tahap kemampuan diri untuk menikmati keindahan yang ada di Gunung Santubong ini dan berjaya menamatkan cabaran yang diberikan," katannya.

Jelas SFC lagi, acara ini tidak akan dapat dilaksanakan tanpa sokongan penaja dan usaha gigih pemandu (maling gunung) dan sukarelawan yang berpengalaman, yang memastikan keselamatan dan keseronokan semua peserta sepanjang cabaran.

Tambahnya, cabaran itu bukan sahaja menyediakan platform untuk kecergasan fizikal dan mental tetapi juga bertujuan sebagai peringatan tentang kepentingan memelihara dan menghargai keajaiban alam semula jadi yang ada.  

"SFC kekal komited untuk memupuk hubungan yang lebih mendalam dengan alam semula jadi melalui acara sebegini," ujarnya.
Next Post Previous Post