Tragedi kepala air: Mayat ketiga, keempat ditemukan - Polis

KEMAMAN— Dua lagi mayat mangsa tragedi kepala air di Jeram Mawar, Kampung Air Putih ditemukan pagi tadi sementara enam yang lain dikhuatiri masih hilang.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, mayat ketiga dan keempat ditemukan masing-masing pada jam 11.05 dan 11.25 pagi tadi, menurut Sinar Harian.

Mayat Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat di sektor kedua iaitu berhampiran Sungai Teladas pada jam 11.05 pagi manakala seorang lagi mayat kanak-kanak perempuan pula dipercayai dijumpai tidak jauh dari lokasi penemuan Muhammad Haziq Ziqree pada 11.25 pagi.

Namun identiti mayat masih belum dikenal pasti sama ada Puteri Aryana Umairah, 4, atau Puteri Nurerina Natasya, 10.

Jarak penemuan kedua-dua mayat dengan lokasi kejadian dianggarkan lebih 15 kilometer.

Semalam media melaporkan 10 mangsa termasuk sembilan sekeluarga dihanyutkan arus deras ekoran fenomena kepala air sewaktu berkelah di Jeram Mawar.

Dua mayat iaitu Azizah Eiyi, 40, dan anak keempatnya, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11 masing-masing ditemukan pada pukul 12.45 tengah hari dan 5 petang semalam. 

Gambar ihsan Bomba
Next Post Previous Post