Tiga polis minta rasuah RM3,000 direman

Georgetown— Tiga anggota polis ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) tiga hari bermula hari ini kerana disyaki meminta rasuah RM3,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan ke atas seorang lelaki yang ditahan mereka 20 Julai lalu.

Memetik Harian Metro, tiga anggota polis yang berusia 20, 36 dan 38 itu bertugas di Balai Polis Bukit Mertajam dengan dua daripadanya berpangkat koperal manakala seorang lagi konstabel.

Menurut sumber, semua suspek ditahan selepas pihaknya mendapati mereka membuat pemeriksaan ke atas seorang individu di Jalan Berapit, Mengkuang, Bukit Mertajam kira-kira jam 7.15 malam pada 20 Julai lalu.

“Anggota polis mendapati cukai jalan motosikal yang ditunggangi individu berkenaan sudah tamat tempoh selain dia memiliki sebungkus air ketum serta beberapa kotak rokok tidak bercukai.

“Ketiga-tiga suspek menerima rasuah berjumlah RM3,000 daripada individu itu sebagai balasan bagi tidak mengambil tindakan ke atas kesalahan yang dilakukannya,” katanya.

Semua suspek ditahan SPRM kira-kira jam 7.25 malam tadi ketika hadir ke pejabat SPRM Pulau Pinang dan disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun di Mahkamah Majistret di sini, pagi tadi.

Majistret Mohd Hadi membenarkan permohonan reman SPRM terhadap semua suspek bermula hari ini sehingga 27 Julai ini.

Ketiga-tiga suspek tiba di perkarangan pada jam 9.05 pagi dengan berpakaian lokap diiringi pegawai SPRM.
Next Post Previous Post