Tiga loji hidrogen dibangunkan di Sarawak menerusi NETR Fasa 1

KUALA LUMPUR— Sejumlah tiga loji pengeluaran hidrogren akan dibangunkan di Sarawak di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Fasa Pertama, kata Rafizi Ramli.

Menteri Ekonomi itu berkata, ia merangkumi pembinaan kilang pengeluaran di Kuching menjelang tahun 2025 untuk kegunaan domestik dan dua kilang di Bintulu menjelang tahun 2027 bagi tujuan ekport.

“Pelaksanaan tiga projek bersepadu untuk menghasilkan hidrogen hijau ini akan memacu Sarawak sebagai hab hidrogen hijau serantau.

“Kerajaan Negeri Sarawak melalui SEDC Energy bekerjasama dengan rakan strategik untuk membangunkan negeri itu menjadi hab hidrogen hijau,”katanya dalam kenyataan.

Katanya, NETR juga membuka pintu masuk hidrogen di Sarawak semasa ia melaksanakan projek untuk muncul sebagai hab hidrogen di negara ini dan melaksanakan rangka kerja penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) supaya projek pemangkin boleh dilaksanakan dalam tempoh dua tahun ini.

Beliau berkata, Fasa Pertama NETR ini dianggarkan membawa kira-kira 25,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan membuka peluang pelaburan antara RM435 bilion hingga RM1.85 trilion menjelang 2050.

Terdahulu beliau dalam hantaran di Facebook berkata, Kerajaan Perpaduan tidak mahu mengulangi kesilapan kerajaan terdahulu yang terjebak dengan polemik politik yang akhirnya tiada satu dasar atau rancangan khusus ekonomi untuk rakyat yang membuka peluang baru.

“Bulan pertama saya sebagai Menteri Ekonomi, saya mencari sektor-sektor fokus yang dapat menggabungkan kekuatan sedia ada, mengambil kesempatan mega trend global, dan mengubah asas dan dasar ekonomi Malaysia. 

“Tidak sampai setahun, kita telah umumkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) di hadapan para pelabur antarabangsa dan pengurus dana besar semalam sebagai komitmen kita kepada dunia bahawa kita ingin menjadi pemimpin ekonomi serantau dan bukan lagi pengikut.

“Rakyat biasa juga boleh tambah duit poket dengan pajak atau sewakan bumbung rumah kepada syarikat-syarikat untuk memasang solar panel dan menjana tenaga. Syarikat-syarikat ini kemudiannya akan membayar duit sewaan bumbung kepada pemilik rumah,” katanya.

Ujar beliau, NETR ini adalah untuk semua kumpulan baik daripada sektor swasta, tenaga kerja dan rakyat biasa.
Next Post Previous Post