195 sekolah daif Sarawak dibangun semula

KUALA LUMPUR— Sebanyak 195 sekolah daif di Sarawak dibangun semula dari tahun 2016 hingga 2023, yang kini dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan berkata, jumlah ini membuktikan kesungguhan kementerian dalam menambah baik akses dan fasiliti pendidikan di negeri ini dalam menyelesaikan isu bangunan daif di sekolah di seluruh negara. 

“Sebanyak 78% daripada keseluruhan projek yang telah diluluskan dalam pelbagai peringkat pelaksanaan pada tahun 2023.

“Komitmen kerajaan untuk menoktahkan isu sekolah daif diteruskan lagi dalam Rolling Plan 2023, sejumlah RM923.97 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan 417 projek baharu dan sambungan di seluruh negara,” kata kenyataan itu yang disiarkan menerusi Facebook KPM hari ini.

Menurut KPM, keseluruhan dari tahun 2016 hingga 2023, kerajaan telah memperuntukkan RM6.5 bilion bagi pelaksanaan projek pembangunan semula bangunan daif di sekolah, melibatkan sejumlah 1002 projek di seluruh negara. 

“Seperti yang sentiasa ditekankan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, usaha untuk menyelenggara dan menaik taraf bangunan daif di sekolah sentiasa menjadi keutamaan KPM demi mencapai hasrat akses pendidikan yang berkualiti untuk semua anak Malaysia, generasi yang mewarisi Malaysia MADANI,” katanya.
Next Post Previous Post