Suami dituduh sekongkol dengan tukang urut, lakukan seks luar tabii

KUALA LUMPUR— Seorang suami mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan bersekongkol dengan tukang urut untuk melakukan seks luar tabii terhadap isterinya, dua minggu lalu.

Lelaki berusia 41 tahun yang juga bapa tiga anak itu membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan niat bersubahat dan mengarahkan bersama-sama seorang lelaki memaksa isterinya berusia 40 tahun untuk melakukan perbuatan seks luar tabii dengan memasukkan jari ke dalam kemaluan tanpa kebenaran mangsa.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kondominium di Sentul antara 8.30 malam hingga 10 malam pada 13 Julai lalu, lapor Harian Metro.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 107 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 377CA kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun serta boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip manakala tertuduh diwakili peguam Ashraf Fahmi Abdul Aziz.

Siti Aminah membenarkan tertuduh dijamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis terdekat serta tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 September depan untuk sebutan semula kes.

Di Mahkamah Sesyen berasingan, seorang lagi tertuduh iaitu tukang urut itu yang berusia 42 tahun turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan perhubungan seks dengan wanita sama dengan memasukkan jari dalam kemaluan mangsa tanpa kebenaran.

Kesalahan itu dilakukan pada tempat, masa dan tarikh yang sama yang didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun serta boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Hakim Norina Zainol kemudian membernarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dan menetapkan 5 September ini untuk sebutan kes.
Next Post Previous Post