Tumpahan minyak, cuaca buruk jejas operasi cari kru hilang

Tumpahan minyak jejas usaha untuk menterbalikkan kapal bagi mencari empat kru yang masih hilang. Gambar ihsan APMM

KUCHING— Tumpahan minyak dan cuaca kurang baik menjejaskan usaha untuk menterbalikkan MV Tung Sung yang karam di perairan Pulau Burung, Sebuyau Rabu lalu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus, berkata kebocoran minyak dikesan pihak kontraktor yang dilantik pemilik kapal pada hari pertama usaha untuk menterbalikkan kapal.

“Justeru pencarian dalam kapal akan dilakukan selepas kapal dapat terbalik sepenuhnya dan selamat untuk masuk melakukan pencarian empat mangsa yang masih hilang.

“Semua aset laut yang terlibat akan melakukan pemantauan dan kawalan keselamatan di sekitar kerja-kerja terbabit dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, KM Kota Kinabalu dua Permata Hidro telah dianturgerakkan bagi penugasan pemantauan dan kawalan tumpahan minyak di kawasan kerja-kerja menerbalikkan kapal.

Selain itu katanya, cuaca dilaporkan kurang baik dengan arah angin bertiup dari barat barat daya dengan kelajuan angin 20-30 km sejam serta ketinggian ombak 1.0 meter hingga 1.5 meter.

Beliau berkata, proses kerja-kerja menerbalikkan kapal MV Tung Sung telah disambung semula pada jam 10.00 pagi tadi oleh pihak kontraktor.

“Operasi Carilamat hari kesembilan akan tertumpu pada kerja-kerja menterbalikkan kapal dan kawalan tumpahan minyak di kawasan tersebut,” katanya sambil menambah Pangkalan Hadapan CARILAMAT di Lembaga Sungai-sungai, Sebuyau masih ditutup sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Next Post Previous Post