Suri rumah di Betong rugi RM116 ,000 beli emas palsu

KUCHING— Seorang suri rumah kerugian RM116,000 selepas terpedaya membeli emas palsu daripada seorang wanita yang mendakwa kononnya ejen dropship emas pajak gadai.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, mangsa yang berusia awal 30-an dari Betong telah membeli emas yang telah dipajak gadai seberat 347.78 gram daripada suspek antara 1 hingga 8 Julai.

“Mangsa melalui modal kewangan kawan telah melakukan 20 transaksi pembayaran kepada akaun suspek sebanyak RM116 bagi tujuan membuat
tebusan emas kononnya dari kedai pajak gadai dan pembelian emas daripada pelanggan kepada suspek.

“Pada 11 Julai melalui pos bas ekspress daripada Miri ke Kuching, suspek telah menghantar barang emas seberat 347.78 gram. 

“Barang kemas tersebut telah diperiksa ketulenannya di kedai emas kawan mangsa di Kuching dan didapati ia adalah emas palsu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berdasarkan laporan, mangsa memberitahu pada pertengahan bulan Mei 2023, mangsa telah mengiklankan pencarian dropship di Facebook dan pada 27.6.2023 mangsa telah dihubungi oleh seorang perempuan (suspek) melalui Whatsapp dan menawarkan diri menjadi ejen dropship bagi mencari pelanggan yang ingin menjual emas atau pelanggan yang ingin menjual emas yang telah digadai di kedai pajak gadai.

Beliau berkata, mangsa menyedari telah ditipu apabila suspek enggan memulangkan duit dengan alasan wang tersebut telah digunakan untuk urusan lain. 

“Mangsa berasa tidak puas hati dan tampil membuat laporan untuk siasatan lanjut pihak polis.”

“Sehubungan itu polis menasihatkan orang ramai dinasihatkan agar tidak melayani orang yang tidak dikenali dengan menawarkan penjualan emas,” tambah Mohd Azman.
Next Post Previous Post