SPRM tumpaskan sindiket rasuah, Datuk ditahan miliki wang dan emas berjumlah RM98 juta, 17 kereta mewah

PETALING JAYA—Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan sekutunya, ditahan bersama sejumlah wang tunai kira-kira RM38 juta, emas anggaran berat 200 kilogram bernilai RM60 juta serta 17 buah kereta mewah.

Antara kereta mewah yang disita adalah Maserati, Ferrari dan Mercedes Benz.

Menurut sumber, Pasukan Petugas Agensi-Agensi Penguatkuasa Malaysia – Multi Agency Task Force (MATF) yang diketuai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melancarkan operasi besar-besaran Isnin lalu.

Ia merupakan kes pertama yang dijalankan di bawah Pasukan Petugas Multi Agency Task Force (MATF) yang dipengerusikan oleh Peguam Negara. 

“Dalam operasi pada Isnin lalu itu, serbuan serentak telah dilakukan di 34 lokasi di Kuala Lumpur dan Selangor dengan melibatkan kekuatan 315 pegawai pelbagai agensi.

“Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan sekutunya telah ditahan dan sejumlah wang tunai anggaran kira-kira RM 38 juta, emas seberat anggaran 200 kilogram bernilai kira-kira RM60 juta serta 17 buah kereta mewah juga telah disita,” katanya hari ini.

Tambahnya, operasi tersebut sekali gus melumpuhkan satu sindiket rasuah, pecah amanah, penyeludupan barang-barang haram dan pengurangan cukai tidak sah.

Operasi itu dijalankan dengan kerjasama enam agensi penguatkuasaan lain iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Cyber Security Malaysia (CSM).

Ketika dihubungi, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA)2001, Akta Percukaian 1967 dan Akta Kastam 1967.


Gambar ihsan SPRM
Next Post Previous Post