Hidupkan kembali laluan penerbangan Pontianak - Kuching

PONTIANAk— Jiran tetangga di Kalimantan Barat (Kalbar) berharap laluan penerbangan Kuching - Pontianak dikembalikan usai Sarawak mengambilalih MASwings Sdn Bhd (MASwings) dari Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG).

Anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Kota Pontianak Zulfydar Zaidar Mochtar berkata, beberapa tahun lalu terdapat penerbangan terus dari Kuching ke wilayah itu namun ia ditamatkan berikutan Pandemik Covid-19.

Beliau berkata, kerajaan Sarawak harus mempertimbang keluhan warga Kalimantan yang amat berharap laluan penerbangan itu dibuka semula memandangkan pandemik tersebut sudah berakhir.

“Laluan penerbangan ini penting untuk memulihkan ekonomi Kalbar pasca Covid yang sebelum ini bergantung kepada sektor pelancongan.

“Sektor pelancongan ini menyumbang pendapatan yang tinggi kepada Pontianak dengan kemasukan pelancong luar yang dominan dari Sarawak,” katanya dipetik portal PontianakPost.

Zulfydar menambah, ramai juga warga Pontianak memanfaatkan hubungan jiran tetangga ini pergi ke Sarawak untuk bercuti, beli-belah, bekerja dan mendapatkan rawatan kesihatan.

Namun ketiadaan pengangkutan udara menyebabkan perjalanan dari Kuching ke Pontianak atau sebaliknya mengambil masa seharian melalui jalan darat.

“Ramai Pekerja Migran Indonesia (PMI) dari seluruh Indonesia yang bekerja di Sarawak memerlukan pengangkutan udara. Ia menyingkatkan waktu perjalanan, berbanding sekarang waktu cuti banyak terbuang apabila pulang kampung menggunakan jalan darat.

“Warga Kalbar juga bergantung dengan laluan penerbangan ini untuk mendapatkan rawatan kecemasan atau kesihatan di Kuching. Walapun kemudahan hospital di sini bagus, namun ada warga kami yang tetap memilih Kuching dan ini harus dipertimbang,” kata Zulfydar.

Tambahnya, Kuching juga berupaya menjadi transit pelancong dari Semenanjung bahkan negara-negara Asean yang lain.

“Hubungan perdagangan antara Kalbar dan Sarawak sangat erat dan saya percaya ia lebih efektif, efesien dan intensif dengan adanya pengangkutan udara.
Next Post Previous Post