Polis berkas lelaki ceroboh, khianat kubur

Ketua Polis Daerah Bintulu Supritenden Batholomew Umpit

BINTULU— Polis menahan reman seorang lelaki tempatan kerana disyaki menceroboh dan melakukan khianat di kawasan tanah Perkuburan Islam Kemunting, Jalan Sebiew, dekat sini pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Bintulu Supritenden Batholomew Umpit berkata pihaknya menerima laporan pada Isnin (24 Julai) sekitar jam 7.15 pagi terdapat
pencerobohan dan khianat dengan menyembur cat merah dan biru telah dilaporkan di kawasan perkuburan tersebut.

“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati sebanyak 51 kubur dikhianat menggunakan semburan cat, 41 daripadanya dicat dengan tulisan
warna biru manakala 10 lagi disembur dengan tulisan warna merah.

“Berdasarkan maklumat, seorang lelaki tempatan anggaran berumur 40-an telah ditahan untuk membantu siasatan. Suspek direman selama tiga (3) hari bermula 25 hingga 28 Julai ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, kes masih dalam siasatan pihak polis.

Jika disabitkan kesalahan dibawah Seksyen 297 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga setahun, denda atau kedua-duanya sekali. 

Selain itu jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak benar kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya.

Sekiranya ada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian boleh tampil dan menghubungi pegawai penyiasat kes Insp Muhammad Hafizuddin Zaidi di talian 014-6066404 atau Bilik Gerakan IPD Bintulu di talian 086-318304.
Next Post Previous Post