SPRM tahan reman empat individu dipercayai terbabit dengan sindiket antarabangsa penyelupan sisik tenggiling.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman empat lelaki kerana disyaki terlibat menyogok penguat kuasa bagi menyeludup dan melupuskan sisik tenggiling serta terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram.

SPRM turut merampas hampir dua tan sisik haiwan itu yang bernilai kira-kira RM23.4 juta.

Menurut sumber, kesemua suspek berusia antara 30 hingga 50an itu dipercayai ditahan di pejabat SPRM Selangor kira-kira jam 8 malam, semalam ketika hadir memberi keterangan.

Menurut sumber, sindiket berkenaan ditumpaskan hasil serbuan dijalankan oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM menerusi Op Jaguar di sebuah premis di Klang, Selangor dan di Kuala Lumpur, semalam. 

Susulan penahanan tersebut, Majistret A. Karthiyayini telah membenarkan tiga suspek direman selama 4 hari bermula hari ini sehingga 18 Julai 2023 manakala seorang lagi suspek berusia 40an direman selama dua hari sehingga 16 Julai 2023 setelah SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Shah Alam, pagi ini.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AML) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin yang mengesahkan penahanan tersebut berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Next Post Previous Post