Sekurang-kurangnya PSB telah insaf menentang GPS

KUCHING— Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengalu-alukan langkah Parti Bersatu Sarawak (PSB) untuk bekerjasama dengan Parti Demokratik Progresif (PDP) memandangkan mereka telah insaf dengan apa yang dilakukan suatu ketika dulu.

Premier Sarawak yang juga Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah PSB untuk bekerjasama dengan PDP, salah satu parti komponen GPS menunjukkan mereka telah memahami dan menerima perjuangan GPS.

“Saya tidak fikir ia satu masalah kepada SUPP dan PRS jika kedua-dua parti tersebut mahu bekerjasama.

“Sekurang-kurangnya PSB telah insaf di atas perbuatan mereka menentang GPS dalam pilihan raya lalu. Sekarang mereka memahami dan mahu menyokong GPS untuk bersama-sama membangunkan Sarawak,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini (14 Julai).

Abang Johari mengulas sama GPS merestui kerjasama itu yang dirasmikan melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing dan Presiden PSB Dato Sri Wong Soon Koh di Kuala Lumpur, semalam (13 Julai).

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini, Soon Koh sudah menyatakan pendirian menyokong GPS.

Mengenai MoU itu, beliau berkata ia hanya melibatkan PSB dan PDP.
"Kita okay, ada ahli yang mahu balik kepada parti asal. Mereka mahu bekerjasama dengan GPS, jadi kerjasama dengan PDP mungkin satu permulaan.

"Kita akan putuskan perkara ini selepas adakan mesyuarat bersama parti komponen GPS yang lain," katanya sambil menambah usaha PSB untuk bekerjasama itu harus diterima dengan hati terbuka.
Next Post Previous Post