SPRM tahan bekas pegawai khas menteri minta sogokan RM25,000 lulus surat warganegara

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seorang penjawat awam kerana disyaki meminta wang rasuah berjumlah kira-kira RM25,000 daripada seorang individu sebagai dorongan mendapatkan surat kelulusan permohonan taraf kewarganegaraan.

Suspek lelaki berusia lingkungan 40an itu ditahan kira-kira jam 5 petang di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan, semalam.

Menurut sumber, suspek tersebut yang merupakan bekas pegawai khas seorang menteri pada 2019 dikatakan telah meminta wang rasuah tersebut daripada seorang lelaki tempatan yang membuat permohonan taraf kewarganegaraan terhadap anak kandungnya.

"Pada bulan Jun lalu, suspek telah menghubungi individu terlibat yang memohon taraf kewarganegaraan bagi anaknya sejak 2015.

"Suspek memaklumkan bahawa surat kelulusan permohonan taraf warganegara telah ada padanya dan meminta individu terlibat membayar wang berjumlah RM 25,000 sebelum menyerahkan surat kelulusan tersebut," kata sumber itu.

Tambah sumber, penahanan saspek dibuat hasil pendedahan dan gesaan Perdana Menteri agar SPRM menyiasat lanjut berhubung amalan rasuah oleh segelintir pegawai di JPN

Susulan penahanan itu, Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin telah membenarkan suspek direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 14 Julai setelah pihak SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Next Post Previous Post