PSB "kahwin" PDP
SIBU-- Parti Sarawak Bersatu (PSB) mengumumkan kerjasama dengan Parti Demokratik Progresif (PDP) bagi memastikan parti itu dapat berkhidmat kepada rakyat dengan lebih baik di bawah kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Presiden PSB, Dato Sri Wong Soon Koh berkata, suasana politik hari ini membuktikan tiada yang mustahil atas nama politik.
Mengambil contoh apa yang berlaku kepada UMNO dan Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP; GPS dengan UMNO dan DAP; tidak mustahil untuk PSB dan PDP mencari titik persamaan demi perpaduan dan solidariti.
"Kami bersyukur kepada Presiden parti Datuk Seri Tiong King Sing dan Timbalannya Datuk Henry Jinep atas usaha bekerjasama demi kebaikan masa depan rakyat Sarawak."
"Bertitik tolak dari kesedaran itu, kami sebagai parti pembangkang di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) telah memutuskan untuk memberikan sokongan penuh kepada GPS di bawah pimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
"Di peringkat persekutuan, kita maklum GPS adalah blok utama dalam pentadbiran kerajaan Perpaduan yang menyokong kuat kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya dalam kenyataan sempena majlis bersama PSB- PDP pada Khamis (14 Julai).
Soon Koh menambah, PSB menzahirkan sokongan penuh kepada Abang Johari dalam melaksanakan program pembangunan untuk mencapai status negeri membangun menjelang 2030.