Sindiket kurangkan duti kereta mewah: tujuh individu ditahan SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seramai tujuh individu kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mengurangkan duti kereta mewah secara tidak sah sehingga menyebabkan ketirisan cukai kastam berjumlah kira-kira RM33 juta.

Kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 30an hingga 60an itu telah ditahan di Pejabat SPRM Kedah antara jam 5 petang hingga 10.30 malam semalam ketika hadir memberi keterangan.

Menurut sumber, suspek-suspek berkenaan yang merupakan ejen kastam dipercayai bersubahat bersama pemilik kereta terlibat mengemukakan dokumen mempunyai maklumat palsu bagi tujuan mendapatkan pengurangan penilaian duti kastam sedangkan kenderaan tersebut tidak layak menerimanya.

Susulan penahanan tersebut, Majistret Nurshahida binti Abdul Rahim telah membenarkan kesemua suspek direman selama 4 hari bermula hari ini sehingga 17 Julai 2023 setelah SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Alor Setar pagi ini.

Difahamkan, dalam operasi yang dilakukan oleh Bahagian Operasi Khas tersebut, SPRM juga telah membuat serbuan di beberapa premis perniagaan, pejabat agensi kerajaan serta kediaman di sekitar Lembah Klang, Kedah, Johor, Perak dan Sabah.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Sai ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. 
Next Post Previous Post