Dadah: 5,665 orang ditangkap di Sarawak dalam tempoh enam bulan tahun ini

KUCHING-- Seramai 5,665 orang telah ditangkap kerana terbabit dalam kes jenayah narkotik di Sarawak sepanjang enam bulan pertama tahun ini. 

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan 1,089 orang tangkapan atau 24 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2022.

"Nilai rampasan dadah juga menunjukkan peningkatan iaitu RM118.9 juta atau 1,355 peratus pada tahun ini berbanding tahun 2022. 

"Jumlah dadah yang dirampas dalam tempoh sama tahun 2022 dan 2023 ini boleh digunakan oleh seramai 2,808,514 orang penagih," katanya pada sidang media hari ini.

Sehubungan itu, Azman menegaskan bagi melumpuhkan sindiket pengedaran dadah, pelbagai aset sindiket dadah
yang bernilai RM3.7 juta telah disita sehingga Jun 2023 berbanding RM1.7 juta bagi tempoh yang sama tahun 2022 iaitu peningkatan sebanyak 54 peratus.

Selain itu, katanya, sebanyak 3,411 kes (63%) daripada 5,419 kertas siasatan yang dibuka sehingga Jun 2023 telah dituduh di mahkamah, berbanding 2,650 kes (64%)
daripada 4,159 kertas siasatan yang dibuka pada tempoh sama tahun 2022.

"Justeru, PDRM menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah untuk menyalurkannya ke hotline JSJN Bukit Aman ditalian 012-2087222," ujarnya.
Next Post Previous Post