Kaut RM450,000, pusat operasi judi online diserbu, 8 ditahan

KUCHING-- Lapan individu termasuk dua wanita warga asing ditangkap dalam serbuan Op Dadu di kawasan Stutong semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, serbuan itu dijalankan sepasukan polis dari Cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching bersama pakar judi di lokasi tersebut.

"Hasil serbuan tersebut telah berjaya menahan enam lelaki dan dua wanita warga asing.

"Kesemua suspek yang berjaya ditangkap merupakan operator judi yang telah diupah untuk mengendalikan pusat tersebut dan akan membuat panggilan kepada pelanggan sebagai salah satu cara untuk mempromosikan perjudian atas talian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, selain panggilan telefon kesemua operator ini juga mempromosikan judi atas talian dengan menggunakan aplikasi dan laman sosial seperti Whatsapp, Telegram, Wechat dan juga Facebook.

Mengulas lanjut, kata Ahsmon, siasatan awal mendapati sindiket dipercayai telah menjalankan operasi sejak beberapa bulan yang lepas berdasarkan kepada rekod dan transaksi. 

"Pusat ini beroperasi secara syif untuk tempoh 24 jam. 

"Pekerja akan bekerja mengikut syif iaitu 12 jam untuk setiap syif, empat pekerja pada waktu siang manakala empat orang pada waktu malam," jelasnya.

Menurutnya lagi, polis turut merampas pelbagai peralatan termasuklah, lima unit monitor komputer, lima unit pemprosesan komputer (cpu), lima telefon bimbit, tiga unit modem dan peralatan lain dalam menjalankan kegiatan perjudian online tersebut.

"Anggaran kutipan yang diperolehi sepanjang operasi ini dijalankan adalah lebih kurang RM450,000," dedahnya.

Tegasnya, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang mana membawa hukuman denda tidak kurang daripada lima ribu ringgit dan tidak lebih dari lima puluh ribu ringgit serta hukuman penjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun.

"Selain itu hendaklah dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada lima ribu ringgit dan tidak lebih lima puluh ribu ringgit bagi setiap mesin judi yang dirampas.

"Suspek-suspek juga turut di siasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63," ujarnya.

Katanya, kesemua suspek ditahan reman selama 14 hari bermula pada 13 hingga 26 Julai 2023. 

Beliau memberitahu kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak pendakwaraya negeri sarawak bagi mendapatkan arahan pertuduhan.
Next Post Previous Post