Sarawak tetapkan dua syarat ambil alih MASwings

Abang Johari (tengah) menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook mewakili Kerajaan Persekutuan dan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Sri Lee Kim Shin mewakili Kerajaan Sarawak. Gambar ihsan Jabatan Premier Sarawak

KUCHING— Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari mahu memastikan langkah pengambilalihan MASwings akan memanfaatkan rakyat tempatan yang bergantung kepada pengangkutan udara.

Beliau berkata, Sarawak ditawarkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk mengambil alih MASwings daripada Khazanah Nasional Berhad bagi membolehkan negeri ini mengendalikan syarikat penerbangan sendiri.

“Kami bersetuju menerima tawaran ini kerana ia dapat menstabilkan tambang penerbangan antara Sarawak dan Semenanjung Malaysia, di samping menyediakan perkhidmatan berkualiti pada tambang yang berpatutan dan bukannya mengaut keuntungan.

“Pengambilalihan saham MASwings bukan sahaja membolehkan kita mengambil alih laluan Sarawak dan Sabah, tetapi juga laluan serantau,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) Pengambilalihan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) Oleh Kerajaan Sarawak, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, bagaimanapun Sarawak menetapkan dua syarat untuk pengambilalihan iaitu syarikat tersebut tiada hutang dan tidak terhad untuk perkhidmatan udara luar bandar di Sarawak dan Sabah, sebaliknya antara wilayah Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Beliau menambah, rundingan pengambilalihan saham syarikat penerbangan MASwings Sdn Bhd antara Kerajaan Sarawak dengan Khazanah Nasional Berhad berjalan lancar.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis menandatangani MoU itu, Abang Johari berkata pengambilalihan pengurusan RAS akan menjadi langkah pertama bagi kerajaan negeri untuk bergerak ke hadapan dengan cara yang lebih agresif untuk meluaskan kesalinghubungan luar bandar dan seterusnya.

“Melalui penyerahan pengurusan RAS dan potensi pengambilalihan MASwings Sdn Bhd, kerajaan negeri berada di landasan yang betul dalam penubuhan Sarawak Airlines,” katanya.

Sementara itu Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata kerajaan Persekutuan meneruskan pemberian subsidi berjumlah RM210 juta setahun bagi membolehkan perkhidmatan udara luar bandar (RAS) terus dinikmati oleh penduduk pedalaman Sarawak dan Sabah.

“Pengambilalihan perkhidmatan RAS oleh kerajaan Sarawak tidak akan menjejaskan perkhidmatan udara luar bandar di semua laluan sedia ada seperti yang termaktub dalam perjanjian.

“Saya amat kagum dengan semangat dan hasrat Premier Abang Johari dan kerajaan Persekutuan komited untuk merealisasikan hasrat kerajaan Sarawak untuk memiliki syarikat penerbangan sendiri,” katanya.
Next Post Previous Post