Sarawak maju dan makmur kerana perjuangan pemimpin terdahulu - TPM Fadillah

KUCHING— Kemajuan dan kemakmuran yang dinikmati rakyat hari ini adalah berkat kesungguhan para pejuang terdahulu yang memperjuangkan Sarawak dan kini legasinya masih diteruskan oleh pemimpin sekarang, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.

Timbalan Perdana Menteri sehubungan itu berkata, rakyat Sarawak wajar merenung kembali akan kisah perjuangan para pejuang terdahulu, menghargai warisan yang ditinggalkan, serta memberi penghormatan atas nilai-nilai yang mereka terapkan. 

“Sempena sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka atau Hari Sarawak 2023, kita harus berterima kasih kepada para pejuang dan pemimpin terdahulu sehinggalah sekarang, yang telah membentuk Sarawak sepertimana Sarawak yang ada pada hari ini. 

“Kepercayaan, keringat, dan perjuangan mereka yang terdahulu telah menginspirasikan kita untuk meneruskan legasi mereka. Kita diamanahkan dengan penuh rasa tanggungjawab untuk mengekalkan keharmonian, memastikan negara selamat, serta menjamin kestabilan dan perpaduan.

“Sesungguhnya perjalanan untuk mencapai kemajuan dan kemakmuran bukanlah mudah dan tidak boleh dilakukan secara bersendirian. Ia memerlukan usaha kolektif, dengan kerjasama dan perpaduan semua kaum,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Beliau menambah, Hari Sarawak mempunyai ertinya yang tersendiri yang amat bermakna.

“Ia mengingatkan kita akan pengorbanan orang tua dan nenek moyang kita dalam memperjuangkan kebebasan dan kemerdekaan Sarawak tercinta.

“Marilah kita bersama-sama meneruskan perjuangan murni orang tua kita dan para pejuang terdahulu, demi mewujudkan Sarawak yang aman, maju, makmur dan harmoni untuk diwarisi generasi akan datang,” katanya.

Fadillah berkata, dalam menelusuri jejak langkah pejuang terdahulu, rakyat boleh membina visi dan berusaha ke arah masa depan Sarawak yang lebih gemilang.

Beliau mengajak rakyat perkukuhkan perpaduan dan kesatuan yang telah lama wujud dan meraikan perbezaan dan pertahankan identiti bersama sebagai rakyat Sarawak. 
Bagi saya, Hari Sarawak mempunyai ertinya yang tersendiri yang amat bermakna.

“Hargai warisan dan budaya kita, raikan apa jua pencapaian kita, namun sentiasalah bersiap siaga untuk mendepani cabaran yang mendatang.

“Rebutlah peluang yang ada di hadapan, sambil menghormati masa lalu dan terus memperkasa masa kini. Moga semangat kebersamaan akan terus mengalir dalam diri dan jiwa kita semua,” katanya lagi.

Fadillah menzahirkan Selamat Hari Sarawak kepada rakyat Sarawak tak kira di mana mereka semua berada dan sama-sama memastikan Sarawak terus maju dan makmur.
Next Post Previous Post