PDRM tutup jalan sempena perarakan sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka

KUCHING-- Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat penutupan jalan hari ini bermula dari jam 5:30 pagi sempena perarakan sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, jalan-jalan terbabit akan dibuka semula setelah program disebelah pagi selesai sepenuhnya.

"Jalan yang akan ditutup adalah persimpangan Jalan Main Baazar/Lebuh Wayang, Jalan Gambier/Jalan Tun Abg Hj Openg / Jalan Main Baazar, Jalan Lebuh Wayang/ Jalan Wawasan, lampu isyarat RTM/Jalan Satok/ Tun Abg Hj Openg ke Padang Merdeka dan lampu isyarat SK ST Mary's / Jalan Mcdougall ke Padang Merdeka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah, Konsert Rakyat yang akan diadakan di Padang Merdeka pada sebelah malam, penutupan jalan akan bermula pada jam 4.00 petang sehingga selesai.

Jelas Azman jalan-jalan terlibat adalah Jalan Lebuh Wayang / Jalan Wawasan, lampu isyarat RTM / Jalan Satok/ Tun Abg Hj Openg ke Padang Merdeka dan persimpangan Jalan Wawasan / Jalan Tun Abg Hj Openg (Plaza Merdeka).

"Orang ramai diingatkan supaya tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan yang boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas.

"Bagi mereka yang ingin menghadiri serta menyaksikan perarakan dan konsert rakyat ini dinasihatkan untuk meletak kenderaan di tempat letak kenderaan di Reservoir Park, Taman Budaya, Green Hill, Bangunan Saujana, Medan Kereta Top Spot dan Dewan Suarah.

Menurutnya lagi bagi melancarkan perjalanan program yang berlangsung, PDRM telah mengatur gerak kekuatan seramai 52 pegawai kanan dan 515 pegawai rendah polis daripada pelbagai elemen di dalam PDRM.

"Bagi penerbangan dron untuk kerja-kerja mengambil gambar dan video di kawasan perhimpunan orang ramai adalah tertakluk kepada peruntukan di bawah Peraturan 140 144 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

Selain itu, katanya, operator dron hendaklah mendapatkan permit/ kelulusan/kebenaran terlebih dahulu daripada pihak berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) seperti mana peruntukan di bawah Peraturan 189 Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016. 

Justeru, tegasnya orang ramai dinasihatkan untuk merancang masa perjalanan masing-masing pada hari tersebut dan sekiranya mempunyai urusan di kawasan pusat bandar atau bagi tujuan menyaksikan perhimpunan dan konsert rakyat supaya mematuhi tanda-tanda isyarat kawalan lalu lintas serta arahan daripada pegawai polis yang bertugas.

"Kerjasama daripada semua amat diharapkan bagi memastikan program berjalan dengan lancar. 

"Pertanyaan lanjut boleh menghubungi bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik IPD Kuching di talian 082-259900 atau merujuk kepada papan notis pemberitahuan penutupan jalan yang telah didirikan disetiap lokasi jalan yang akan ditutup," ujarnya.

Perhimpunan dan perarakan sempena 60 tahun Sarawak Merdeka akan diadakan pada 22 Julai 2023 bertempat di Padang Merdeka, Kuching yang akan disertai oleh 75 kontinjen.
Next Post Previous Post