Pengisian kemerdekaan terus diperkukuh, Abang Johari

KUCHING—Enam puluh tahun selepas diberi kuasa untuk memerintah diri semangat untuk mengisi kemerdekaan tidak pernah luntur tetapi terus dikukuhkan melalui usaha para pemimpin masa kini dengan sokongan padu daripada rakyat Sarawak, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. 

Tempoh 60 tahun yang telah dilalui sejak mencapai kemerdekaan daripada British merupakan era untuk mengisi kemerdekaan ini agar kebebasan yang telah dicapai menjadi sesuatu yang bermakna kepada Sarawak dan rakyatnya, ujar beliau. 

Beliau berkata demikian pada perutusan buku cenderamata sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Sarawak Ke-60 yang berlangsung di Padang Merdeka di sini pada Sabtu. 

Untuk memperhebatkan usaha pembangunan Kerajaan GPS Sarawak telah menentukan hala tuju yang jelas ke arah mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030 melalui Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030), kata beliau. 

“Pada kesempatan ini, saya ingin mengajak semua rakyat Sarawak untuk mengenang sejenak kembali pengorbanan para pemimpin terdahulu yang telah memperjuangkan kemerdekaan Sarawak 60 tahun yang lampau.

“Perjuangan mereka semata-mata untuk mempastikan Sarawak bebas daripada kuasa penjajahan dan digantikan dengan kebebasan Sarawak untuk memerintah diri dan kuasa untuk menentukan masa hadapannya sendiri,” ujar beliau. 

Beliau berkata PCDS 2030 yang sedang dilaksana berteraskan kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian sumber telah membawa Sarawak untuk terus meneroka potensi-potensi kekayaan baharu khususnya ekonomi hidrogen, pembangunan sumber-sumber tenaga boleh diperbaharui termasuk hidro, Sustainable Aviation Fuel (SAF) daripada alga dan tenaga solar, perniagaan karbon dan Carbon Capture Utilisation (CCUS). 

“Alhamdulillah, berkata terbukti Sarawak agak ke hadapan berbanding negeri-negeri lain di negara ini dan juga di rantau Asia Tenggara dalam usaha untuk membangunankan pontensi-potensi baharu ini ke arah menangani perubahan iklim dunia sejajar dengan Perjanjian Paris 2015,” kata beliau. 

Beliau menyeru agar dengan semangat “Segulai Sejalai” perpaduan rakyat yang berbilang kaum dan agama di negeri terus diperkukuhkan kerana pembangunan ekonomi yang mampan hanya boleh dicapai dalam suasana sosial yang aman dan damai dan iklim politik yang stabil.

Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua ahli jawatankuasa penganjur Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka yang telah bertungkus lumus untuk mempastikan semua persiapan pelbagai acara yang dirancang pada hari ini dan juga sepanjang tahun 2023 dapat berlangsung dengan jayanya.
Next Post Previous Post