Sarawak mahu hasilkan vaksin penyakit berjangkit tropika - Abang Jo

Sarawak mahu hasilkan vaksin penyakit berjangkit tropika - Abang Johari

KUCHING— Sarawak berhasrat menghasilkan vaksin terutama bagi penyakit berjangkit di kawasan tropika yang diterima dunia.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bagi merealisasikan hasrat itu sebuah pusat penyelidikan yang memfokuskan kepada penyakit berjangkit yang berkaitan sedang ditubuhkan.

“Kita kini sedang menubuhkan pusat itu untuk mendapatkan penyelidik dan saintis kita bagi melihat kemungkinan bahawa Sarawak boleh menghasilkan vaksin untuk penyakit berjangkit tropika tertentu.

“Barisan penyelidik yang dilantik akan bekerjasama dengan saintis Hospital John Hopkins di Singapura memandangkan Sarawak mempunyai hubungan baik dengan negara berkenaan,” katanya
 dalam sesi dialog ‘Sunday Morning With Premier 2.0: Dialogue Session With Young Entrepreneurs on New Economy’ di sini pada Ahad.
 


"Dengan hubungan baik tersebut, kita mampu melakukan kajian saintifik terhadap bahan mentah untuk menghasilkan vaksin yang boleh diterima oleh dunia,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, beliau mendapat inspirasi daripada Samsung Biologics terutamanya dalam penghasilan ubat untuk kanser.

Katanya, Kerajaan Sarawak akan cuba bekerjasama dengan pihak Samsung dan mengambil tahu tentang fasiliti yang ada terutamanya dalam menghasil peralatan yang dapat menganalisis pelbagai bahan mentah.


Info dan gambar UKAS
Next Post Previous Post