Kenyataan 3R, PDRM siasat Lim Guan Eng

SHAH ALAM— Pengerusi DAP Lim Guan Eng disiasat berhubung kenyataan yang didakwa menyentuh isu 3R iaitu gelombang hijau' bakal memusnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang.

Timbalan Pengarah (Forensik dan Perancangan Strategik) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk G Suresh Kumar berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima beberapa laporan polis berhubung kenyataan itu dan sudah membuka kertas siasatan.

“Kenyataan Ahli Parlimen Bagan itu dipercayai dikeluarkan beliau ketika berucap dalam program 'Tian Fu Gong Bai Long Wang Singapore - Malaysia Tour 2023' di Tokong Batu, Jelutong, Pulau Pinang, 7 Julai lalu," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Beliau menambah, siasatan kini dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.


“Siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Justeru orang ramai diingatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan," katanya.

Media sebelum ini memetik laporan akhbar Bahasa Mandarin melaporkan, Guan Eng memberi amaran kepada pengundi Pulau Pinang untuk menyekat ‘gelombang hijau’ daripada bertapak di negeri itu.

Beliau mendakwa ia akan mengakibatkan tokong Buddha dimusnahkan dan orang bukan Islam berdepan pelbagai sekatan sehingga dikecam oleh beberapa pemimpin yang meminta pihak polis menjalankan siasatan.

Guan Eng bagaimanapun menafikan mengeluarkan kenyataan tersebut dan mendakwa ia telah diputar belit.
Next Post Previous Post