Empat jadi mangsa penipuan dalam talian, rugi lebih RM250,000

KUCHING-- Empat individu menjadi mangsa terbaharu kes penipuan dalam talian di Kuching dan Miri melibatkan jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM257,458.78.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, empat mangsa itu terdiri seorang lelaki dan tiga wanita berusia antara 20-an hingga 50-an.

Mangsa pertama katanya, melibatkan kes penipuan tawaran kerja sambilan atas talian yang tidak wujud yang telah dilaporkan di bandaraya miri oleh seorang wanita berusia lewat 30-an yang merupakan seorang eksekutif sebuah syarikat minyak di Miri, sarawak.

"Pada 2 julai 2023, semasa berada di rumahnya, mangsa telah menerima mesej melalui aplikasi Whatsapp mengenai iklan tawaran kerja sambilan atas talian dari nombor telefon yang tidak dikenali dan telah berhubung dengan individu yang memperkenalkan diri sebagai pengurus sumber manusia bernama 'Farhana Arwaa Abaasa' dari syarikat Aevus Studio Sdn Bhd yang menawarkan kerja atas talian yang mempunyai pulangan yang lumayan. 

"Pada mulanya mangsa hanya perlu melakukan tugasan dengan menekan butang “like” dan “subscribe” dan dengan tugasan sebegitu mangsa ada menerima komisyen sebanyak RM20 bagi setiap “like” yang diberikan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Azman lagi, mangsa kemudian berurusan dengan penama Penny Penny O’case untuk sebarang urusan transaksi pembayaran dan mangsa telah melakukan satu tugasan iaitu "Merchant Currency Data Task" di mana mangsa perlu membuat pembayaran mengikut jumlah harga data task ke akaun bank
yang diberikan oleh Penny Penny O’case yang kononnya merupakan receptionist bagi syarikat tersebut.

"Mangsa yang telah terperdaya, diantara tarikh 3 Julai hingga 7 Julai 2023
telah melakukan 10 kali transaksi pembayaran ke lapan akaun bank
yang berbeza berjumlah keseluruhan iaitu RM106,737. 

"Mangsa sedar dirinya telah ditipu kerana sudah tiada duit lagi dan tidak mendapat pulangan duit seperti dijanjikan oleh suspek," katanya.

Kes kedua pula katanya, melibatkan seorang wanita yang merupakan kerani di sebuah syarikat pembekal perubatan berumur pertengahan 20-an di Kuching.

Menurutnya, pada 28 Jun lalu, mangsa telah melihat iklan di Facebook dikongsikan oleh 'Aena Loh' untuk kerja sambilan yang menawarkan kerja menonton movie dan mendapat komisyen.
 
"Mangsa telah meninggalkan nombor telefon di Facebook Alena Loh dan kemudian suspek telah menghantar Whatsapp sebelum menerangkan kepada mangsa bahawa sekiranya mahu mendapat komisyen selepas menonton movie, mangsa dikehendaki membuat pembayaran bagi setiap movie yang ditonton. 

"Mangsa yang telah terperdaya dengan tawaran kerja tersebut telah membuat 13 kali transaksi pemindahan wang ke enam akaun bank yang berbeza berjumlah RM54,391.78. 

"Setelah selesai semua pembayaran dibuat, mangsa tidak menerima pulangan wang miliknya dan komisyen juga tidak diberikan," katanya.

Kes ketiga, melibatkan penipuan penjualan tiket konsert 'Taylor Swift' yang membabitkan mangsa seorang lelaki selepas menjadi mangsa penipuan tawaran pembelian tiket konsert berkenaan yang diiklankan dalam laman sosial media.

Katanya, kejadian yang berlaku di Kuching itu melibatkan mangsa berusia dalam lingkungan 50-an merupakan seorang jurutera pada 6 Julai lalu, semasa berada di rumahnya, mangsa telah melihat iklan jualan tiket konsert penyanyi 'Taylor Swift' di laman media Carousell. 

"Mangsa yang berminat ingin membuat pembelian tiga tiket konsert yang berjumlah RM11,530.

"Pada 6 dan 7 Julai, mangsa telah membuat pembayaran bertempat di sebuah bank di Kuching dengan melakukan tiga transaksi pembayaran kepada akaun bank yang telah diberikan suspek dan setelah transaksi pembayaran dilakukan suspek terus tidak dapat dihubungi. 

"Mangsa sedar dirinya telah ditipu dan seterusnya buat laporan polis untuk tindakan lanjut," tambahnya.

Kes keempat pula, kata Azman melibatkan seorang wanita berumur lewat 30-an yang merupakan pengurus syarikat swasta yang rugi RM84,800 selepas terpedaya dengan panggilan 'phone scam' yang menyamar sebagai pegawai bank dan polis yang mana kejadian berlaku di Miri.

Pada 7 Julai, jelasnya, mangsa menerima panggilan telefon dari nombor yang tidak dikenali daripada pihak bank HSBC kad kredit.

"Pihak bank berkenaan mendakwa nama mangsa ada digunakan untuk membuat kad kredit di Ipoh, Perak dan pengunaan telah dilakukan dua kali pada 23 dan 24 Jun berjumlah RM7904.69.

"Talian panggilan mangsa seterusnya telah disambungkan kepada Bank Negara untuk siasatan lanjut," katanya. 

Jelas Azman, pengesahan dari Bank Negara mendapati nama mangsa berada dalam kes yang disiasat oleh pihak Bank Negara. 

"Panggilan telefon itu telah disambungkan kepada pihak polis dan mangsa bercakap dengan 'Sjn Kelvin Lim' dan nama mangsa juga dikatakan terlibat dalam kes pengubahan wang haram berjumlah RM600,000.

"Mangsa seterusnya telah bercakap dengan 'ACP Kho Fei Chow' untuk membantu dalam siasatan dan cuma pegawai ini sahaja yang kononnya dapat menyelesaikan dan membantu untuk membersihkan nama mangsa," katanya.

Mangsa yang panik katanya, telah diarahkan untuk mengeluarkan kesemua wang yang ada di dalam akaun bank milik mangsa dan masukkan ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek untuk tujuan pembersihan.

"Mangsa telah mengeluarkan wang dari tiga akaun bank miliknya sebanyak RM84,800 dan memasukkan ke dalam dua akaun bank yang telah diberikan oleh suspek menerusi tiga kali transaksi. 

"Wanita itu bagaimanapun sedar telah ditipu setelah suspek tidak dapat dihubungi setelah transaksi dilakukan," ujarnya.

Jelasnya, mangsa buat laporan untuk tindakan lanjut pihak polis.
Next Post Previous Post