Rasuah RM13 Juta: SPRM Tahan Reman Ketua Pegawai Eksekutif Dan Pengarah Syarikat.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman seorang Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Menteri Besar (MBI) dan seorang wanita berjawatan pengarah syarikat bagi membantu siasatan berhubung rasuah dan salah guna kuasa dalam sektor perlombongan melibatkan jumlah rasuah melebihi RM13 juta. 

Perintah reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 21 Julai 2023 terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan masing-masing oleh Majistret Wan Shahida Abd Rahim di Mahkamah Majistret Alor Setar dan Majistret Norsyakirah Che Hashim di Mahkamah Majistret Shah Alam selepas permohonan reman dibuat SPRM. 

Menurut sumber, suspek yang masing- masing berusia 63 dan 40 tahun itu ditahan sekitar lewat petang Selasa di Alor Setar dan Kuala Lumpur.

Tambah sumber, aktiviti perlombongan yang dijalankan secara haram oleh sebuah syarikat terlibat mendapat perlindungan daripada pihak berkuasa tertentu sejak tahun 2020.

Sehubungan itu, hasil siasatan yang dijalankan dapat mengesan bahawa beberapa pembayaran disyaki melibatkan rasuah berjumlah lebih RM13 juta diberikan syarikat terlibat sebagai sogokan bagi melindungi kegiatan perlombongan haram ini dalam tempoh 2020 hingga 2023.

Syarikat milik wanita yang ditahan reman itu dipercayai telah mendapat kelulusan untuk menjalankan projek pembangunan ladang hutan pokok getah klon balak (TLC) di dua kompartmen di Kedah dalam tahun 2016 lagi. 

Projek tersebut bertujuan untuk menanam semula pokok-pokok getah klon balak di kawasan pembalakan yang terlibat.

Pada tahun 2020, syarikat yang sama telah mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Negeri Kedah bagi menjalankan aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) dalam kompartmen yang sama. 

Namun, setakat ini tiada kelulusan diberikan oleh Kerajaan Negeri berhubung permohonan syarikat tersebut bagi menjalankan aktiviti perlombongan itu. 

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah seksyen 17 dan 23 Akta SPRM 2009.
Next Post Previous Post