Dua warga tempatan ditangkap bersama 191,320 batang rokok dan 33 kotak bir seludup di Sibu

SIBU-- Unit Risikan Batalion 10 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sibu merampas 191,320 batang rokok dan 33 kotak bir pelbagai jenis dipercayai seludup di Jalan Salim di sini semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, rampasan itu menerusi serbuan semasa Op Taring Alpha sekitar jam 10.30 pagi semalam yang turut berjaya menahan dua suspek lelaki warga tempatan berusia 20-an dan 30 -an.

"Dalam serbuan dan pemeriksaan tersebut telah menjumpai pelbagai jenis rokok dan minuman keras (bir) disyaki tanpa cukai kastam iaitu rokok putih dan kretek pelbagai jenis sebanyak 930 karton (191,320 batang) dengan anggaran bernilai RM255,069.

"Manakala bir pelbagai jenis pula sebanyak 33 kotak (120 tin + 12 botol)
anggaran nilai RM11,562.82," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, kata Azman, polis turut menyita dua kenderaan iaitu Toyota Vellfire bernilai RM230,000 dan Perodua Kenari bernilai RM20,000.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM516,622.82.

"Tangkapan dan rampasan akan diserahkan pada pihak Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu untuk tindakan lanjut," tegasnya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali ganda barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya," ujarnya.
Next Post Previous Post