Sarawak bayar balik premium tanah yang dikembalikan Kerajaan Persekutuan - Abang Johari

Jumlah bayaran berdasarkan premium tanah yang dibayar Kerajaan Persekutuan ketika itu - Abang Johari

KUCHING— Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, jumlah bayaran premium bagi tanah yang dikembalikan Kerajaan Persekutuan berdasarkan premium yang dikenakan Suruhanjaya Tanah Malaysia ketika itu.

“Semasa Kerajaan Persekutuan mengambil lot tanah berkenaan di bawah Suruhanjaya Tanah Malaysia, mereka membayar sejumlah premium itu. 

“Apabila tanah itu dikembalikan kepada Sarawak, kita akan bayar balik premium tersebut berdasarkan berapa yang mereka bayar,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Ma’al Hijrah 1445H Peringkat Negeri di Dewan Kompleks Islam Sarawak, hari ini (19 Julai).

Abang Johari yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Kewangan Sarawak mengulas persetujuan Kerajaan Persekutuan mengembalikan 52 lot tanah yang diperolehi di Sarawak, seperti yang dinyatakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatakuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bil 1/2023, di Putrajaya, semalam.

“Kerajaan Sarawak mahu mengambil balik lot tanah berkenaan kerana ada perancangan untuk membangunkannya mengikut keperluan bahagian masing-masing seperti sekolah dan sebagainya,” katanya.

Semalam, Fadillah berkata Kerajaan Pesekutuan banyak memperolehi lot tanah di Sarawak namun ia tidak dibangunkan dan terbiar begitu sahaja.

Ia meliputi tanah yang tidak dimajukan dalam tempoh lima tahun dan dari segi keselamatan, kesihatan dan sebagainya, ia perlu diserah balik kepada kerajaan negeri Sarawak selaras dengan MA63.

Terdahulu beliau dan isteri Puan Dri Datuk Amar Hajjah Juma'ani Tun Tuanku Haji Bujang menghadiri Majlis Perhimpunan Ma’al Hijrah Peringkat Sarawak 1445H/2023M di Dewan Kompleks Islam Sarawak pagi tadi.

Abang Johari turut menyampaikan sijil kepada 11 orang penerima Anugerah Ma’al Hijrah Peringkat Sarawak 1445H/2023M. 
Next Post Previous Post