Polis trafik terima rasuah RM3,600 didenda RM30,000

Foto kredit MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI/KOSMO!

MELAKA—Seorang koperal polis trafik didenda RM30,000 oleh Mahkamah Majistret Sesyen Air Keroh selepas mengaku salah menerima wang suapan RM3,600 bagi melindungi sebuah syarikat pengangkutan pada 2017.

Menurut laporan portal Utusan Online, hukuman itu dijatuhkan Hakim Elesabet Paya Wan selepas tertuduh, Mohd Hanif Mohamad Zakri, 37, mengaku bersalah atas pertuduhan. 

Tertuduh yang bertugas di Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin didakwa menerima wang berjumlah RM3,600 daripada seorang pengurus syarikat pengangkutan antara 14 Januari hingga 12 Disember 2017.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa menerima RM300 setiap bulan bagi melindungi tiga daripada lima lori milik pengurus terbabit yang melalui kawasan Jasin daripada disaman polis trafik.

Mohd Hanif didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat, berhujah supaya hukuman setimpal dikenakan kerana rasuah membabitkan penjawat awam yang menggunakan jawatan untuk mendapatkan wang secara tidak sah semasa berkhidmat.

Bagaimanapun, Peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili tertuduh merayu tiada hukuman penjara dan dikenakan denda kerana tertuduh menanggung isteri, seorang anak berusia 10 tahun, ibu yang uzur serta adik yang masih belajar dan kini hanya bekerja sambilan sebagai penjual ikan sejak ditahan kerja.

Mahkamah kemudian menjatuhkan denda RM30,000 atau lapan bulan jika gagal membayar denda tersebut. Tertuduh membayar denda tersebut.


Next Post Previous Post