Polis sudah kenal pasti suspek belasah peniaga mi kolok di Batu 13 Jalan Kuching-Serian
KUCHING-- Sekumpulan suspek yang terlibat dalam kes pukul seorang peniaga mi kolok di sebuah kedai makan di Batu 13 Jalan Kuching-Serian sudah dikenal pasti dan kini diburu polis.
Ketua Polis Daerah Padawan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, Pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Padawan telah diarahkan untuk kenal pasti suspek yang lain dan meneruskan usaha untuk menangkap dengan kadar yang segera suspek yang telah dikenal pasti.
"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan," tegasnya dalam kenyataan malam Sabtu.
Katanya, sebelum ini seorang peniaga mi kolok berusia 30 tahun dari Kampung Tapah cedera akibat dibelasah sekumpulan lelaki di kedai makan tersebut.
Jelasnya, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 5 pagi dan mangsa dikatakan baharu tiba di kedai tersebut untuk memulakan perniagaannya.
"Tiba-tiba lima lelaki tidak dikenali dan memakai penutup muka datang menyerang mangsa dengan kayu dan turut merosakkan kereta milik mangsa sehingga pecah di bahagian cermin depan, sisi dan belakang.
"Mangsa turut mengalami kecederaan di bahagian kepala, jari kelingking sebelah kiri, lengan kiri dan kanan, bahu, belakang, rusuk dan paha sebelah kanan. Punca sebenar tidak diketahui.
"Kesemua suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Proton Saga berwarna hitam," jelasnya.
Tambahnya, kesemua suspek memukul mangsa dengan menggunakan kayu panjang lebih kurang 45cm.
Mangsa yang mengalami kecederaan di beberapa anggota badan kemudian tampil membuat laporan polis berhubung kejadian.
Mangsa turut mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).