469,000 batang rokok seludup, 720 tin bir bernilai lebih RM700,000 dirampas

KUCHING-- Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri merampas 469,000 batang rokok seludup dan 729 tin bir bernilai RM709,651.58 dan menangkap seorang lelaki tempatan di sebuah premis di Jalan Miri -Bintulu petang Jumaat.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, rampas dan tangkapan itu menerusi Op Taring Alpha yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Risikan Batalion 12 PGA Miri sekitar jam 2.06 petang.

"Dalam serbuan dan pemeriksaan tersebut telah menjumpai pelbagai jenis rokok dan minuman keras (bir) disyaki tanpa cukai kastam. 

"Hasil pemeriksaan, pihak polis telah berjaya membuat tangkapan ke atas seorang lelaki warga tempatan berumur lingkungan 30-an," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, hasil pemeriksaan dan rampasan telah menjumpai sebanyak rokok putih pelbagai jenis 2,349 karton (469,000 batang) dengan anggaran RM704,700, minuman (bir) pelbagai jenis 30 kotak (720 tin) dengan anggaran RM4,951.58.

"Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM709,651.58.

"Kesemua rampasan dan tangkapan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali ganda barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya.

Next Post Previous Post