Perdagangan Sarawak pada 2022 melebihi RM217 bilion

KUCHING-- Prestasi perdagangan Sarawak pada 2022 mencatatkan RM217.2 bilion berbanding RM150.9 bilion pada 2021 dipacu oleh pelbagai pelaburan, sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, lebihan dagangan Sarawak pada 2022 meningkat kepada RM88.2 bilion berbanding RM52.7 bilion pada 2021.

"Sarawak merekodkan RM32 bilion pelaburan tahun lalu yang mewujudkan lebih 5,000 peluang pekerjaan baharu. 

"Daripada jumlah ini, sektor utama menyumbang RM22.3 bilion daripada pelaburan, diikuti sektor pembuatan dengan RM5.2 bilion dan sektor perkhidmatan RM4.5 bilion.

"Bagi pelaburan berkaitan pembuatan dari 2022 hingga suku pertama 2023, Sarawak telah meluluskan RM9.6 bilion untuk 87 projek," katanya pada majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Makan Tengahari anjuran Dewan Perniagaan dan Industri Besar Cina Kuching (KCGCCI) hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, berkata,  
rakan dagangan utama bagi Sarawak pada 2022 ialah Jepun, China, Semenanjung Malaysia, Korea Selatan, India, Australia dan Singapura.

Dengan adanya penubuhan InvestSARAWAK sebagai pusat sehenti untuk memudahkan pelaburan akan menarik lebih banyak syarikat untuk melabur di negeri ini,” katanya.

Selain itu, pembangunan ekonomi digital dan hijau menjadi keutamaan memandangkan Sarawak mempunyai sumber asli yang melimpah 

"Malah ia boleh dimanfaatkan untuk menyediakan tenaga yang bersih dan mampan.

"Sarawak menggalakkan pelaburan dalam hidrogen, teknologi baharu dan penyelesaian yang boleh mengurangkan pelepasan gas rumah hijau termasuk teknologi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS),” katanya.


Info kredit Jiwa Bakti
Next Post Previous Post