Kabinet bincang, muktamad dasar ekosistem keselamatan siber 19 Julai, Anwar

KUALA LUMPUR— Keputusan dasar mengenai ekosistem keselamatan siber negara akan
dibincang dan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Kabinet pada 19 Julai.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dasar ini adalah sebahagian daripada langkah kerajaan dalam menangani cabaran keselamatan siber.

“Langkah-langkah ini menunjukkan kesungguhan dan ketegasan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam menangani cabaran keselamatan siber.

“Kerajaan Perpaduan tidak berkompromi terhadap keselamatan negara termasuk di dalam domain digital dan ekosistem siber,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof sempena majlis pelancaran Pameran dan Persidangan Pertahanan dan Keselamatan Siber 2023 (CYDES 2021) di MITEC, di sini pada Isnin (9 Julai).

Beliau berkata, sebelum ini Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara memutuskan agar satu Rang Undang-undang Keselamatan Siber digubal segera, bagi memastikan segenap aspek perundangan yang berkaitan dapat dituntaskan.

Katanya, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara telah dipertanggungjawabkan sebagai agensi tonggak, untuk menggembleng usaha dan ikhtiar merentas pelbagai entiti kerajaan serta pihak industri dalam hal ini.
Next Post Previous Post