10 lelaki tak sedar diserbu polis kerana leka sabung ayam

TATAU-- Sepuluh lelaki daripada sekumpulan individu yang sedang "gian" menyabung ayam dicekup polis di kawasan lapang ladang sawit jalan masuk ke rumah Lua Engan Jalan Tatau-Bintulu, tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Tatau DSP Jame Reis berkata, pada jam 12.10 tengah hari semalam, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Tatau membuat operasi sabung ayam hasil maklumat di lokasi tersebut.

"Setelah membuat pemantauan selama 20 minit, mendapati sekumpulan individu lebih kurang dalam 20 orang sedang leka bermain judi sabung ayam. 

"Tangkapan lebih kurang 10 orang lelaki dewasa dalam lingkungan umur dari 25 tahun hingga 65 tahun telah dilakukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, katanya polis turut merampas empat ekor ayam sabung hidup, wang tunai campur-campur berjumlah keseluruhan RM392.00, satu meja plastik putih, satu penimbang digital warna merah, satu papan putih pertaruhan judi sabung ayam dan dua bilah taji ayam.

Jelas Jame, kesemua tangkapan dan barang rampas dibawa balik ke balai untuk tindakan lanjut.

"Kesemua suspek yang ditangkap ditahan di bawah Seksyen 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan Penganiayaan Terhadap Binatang 1962. 

"Kegiatan judi sabung ayam haram ini disyaki telah diadakan lebih kurang dalam dua minggu.

"Pasukan serbuan turut telah bertindak merobohkan struktur binaan sementara dimusnahkan dan dibakar untuk mencegah daripada berlaku lagi kegiatan haram berkenaan di masa akan datang," tegasnya.

Sehubungan itu, katanya jika orang ramai mempunyai maklumat perjudian atau sebarang maklumat yang hendak disalurkan sila berhubung ke balai polis tatau di talian 086-584615.
Next Post Previous Post